widgeo.net
Halaman Utama
Logo GMS
Logo GMS
Pengenalan GMS
Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T di atas limpah rahmat-Nya yang sentiasa menaungi umat manusia. Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) merupakan organisasi mahasiswa yang akan bertindak secara vokal dalam menyuarakan tuntutan hak asasi dan keadilan untuk mahasiswa sejagat. Namun begitu suka untuk diperjelaskan bahawa eksistensi GMS adalah bermatlamatkan perjuangan untuk menurunkan harga yuran KUIS yang membebankan. Oleh itu perkara ini menjawab persoalan ramai pihak yang mempertikai kehadiran GMS sebagai organisasi yang tidak bermatlamat dan berperancangan. Susun atur gerak kerja GMS telah menelan beberapa ‘purnama’ sehinggalah menghampiri kemuncak pada jumaat yang lalu. Walaupun begitu himpunan aman tersebut bukanlah titik penyudah bagi perjuangan GMS yang akan terus berpencak sehinggalah matlamat harga yuran diturunkan tercapai. Kewujudan GMS adalah berdasarkan kesedaran yang memuncak untuk membela sahabat mahasiswa yang sedang dihimpit tekanan akibat kekangan harga yuran yang tinggi. Adalah diluar kemampuan GMS yang juga manusia biasa untuk hanya berpeluk tubuh melihat penderitaan saudara se-kampus menahan lapar sehingga memudaratkan diri dan pengajian. GMS bangkit dengan minda optimistik untuk merobah penderitaan kepada pembelaan. Walaupun banyak pandangan yang bersifat kontra dengan cara perjuangan GMS, namun kehadiran ribuan mahasiswa dalam himpunan memorandum yang lalu amat bermakna dalam memberi suntikan semangat kepada GMS untuk meneruskan momentum perubahan. Selaras dengan slogan Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa, GMS akan terus menggerakkan kuasa mahasiswa dalam menuntut pembelaan sehinggalah harga yuran diturunkan. “Jika rakyat sedar kuasa yang dimiliki mereka, lantas mereka akan memerintah”
Other things
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer adipiscing elit. Duis ligula lorem, consequat eget, tristique nec, auctor quis, purus. Vivamus ut sem. Fusce aliquam nunc vitae purus.
Other things
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer adipiscing elit. Duis ligula lorem, consequat eget, tristique nec, auctor quis, purus. Vivamus ut sem. Fusce aliquam nunc vitae purus.
Other things
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer adipiscing elit. Duis ligula lorem, consequat eget, tristique nec, auctor quis, purus. Vivamus ut sem. Fusce aliquam nunc vitae purus.
Seluruh pemimpin mahasiswa perlu tampil bantah BTN
Thursday, December 17, 2009
Oleh: Ahmad Syukri Bin Che Ab Razab*
dipetik dari Mahasiswakini
Dasar BTN Yang Tersasar

t192
Rata-ratanya umum sudah mengetahui doktrinisasi yang diamalkan UMNO melalui BTN yang sememangnya berbaur kepentingan politik dan perkauman yang melampau.

Membakar semangat kemelayuan, membunuh simpati terhadap pembangkang dan kemudian mendewa-dewakan UMNO sebagai penyelemat bangsa terus menjadi modus operandi BTN untuk memelihara survival UMNO.

Sepanjang pengalaman menyertai program BTN di sekolah, memang cukup menyedihkan apabila melihat penceramah yang memiliki mustawa ilmu yang cukup tinggi namun sanggup menjadi balaci yang membenarkan pembohongan.

Pada perkiraan saya, BTN tidak lagi memainkan peranan yang sebenar dalam memupuk semangat patriotisma namun lebih menjurus kepada perpecahan akibat sentimen permusuhan politik dan bangsa.

Pembawaan dengan cara doktrin paksa.

Boleh dikatakan setiap penjawat awam perlu menghadiri program yang diadakan secara khusus oleh BTN mahupun slot-slot kecil yang ditumpang oleh wakil BTN.

Diperingkat mahasiswa pula, kebanyakan pelajar yang menganggotai Majlis Perwakilan Mahasiswa akan dibawa untuk mengikuti kursus BTN yang kebiasaannya menjadi aktiviti awal untuk setiap sesi kepimpinan.

Maka disaat inilah kerajaan Barisan Nasional melalui BTN akan sehabis mungkin cuba menyebarkan doktrin secara paksa agar setiap inci isi rakyat tunduk dan patuh pada telunjuk pemerintah.

Ini menjawab persoalan mengapa wujudnya rasa takut pegawai kerajaan untuk melahirkan sokongan terhadap pembangkang bahkan wujud sentimen yang menyifatkan bahawa tanpa UMNO negara akan huru-hara.

BTN juga dilihat menyumbang kepada kemandulan idealisma mahasiswa hasil daripada cerapan anti-pembangkang yang dikatakan tidak patriotik. Tindakan agresif mahasiswa terdahulu disifatkan sebagai pemecah belah bangsa dan tidak berlunaskan adab perlembagaan.

Maka nama-nama tokoh mahasiswa seperti Anwar Ibrahim dan Hishamudin Rais dilabel sebagai agen penjajah yang cuba merosakkan kemerdekaan tanah air melalui tindakan subversif yang menggugat keamanan. Inilah bentuk paksaan minda yang diamalkan oleh BTN bagi memastikan pesertanya meyakini bahawa hanya kerajaan Barisan Nasional mampu menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.

BTN membantutkan daya intelektual masyarakat

Sebagai sebuah negara yang sedang bergerak ke arah pencapaian status negara maju, pembinaan minda rakyat juga seharusnya dibenarkan untuk berkembang secara bebas selaras dengan tahap intelektual berkelas dunia. Kerajaan Barisan Nasional seharusnya meneladani kepimpinan negara-negara maju yang mampu bersifat terbuka terhadap persepsi masyarakat samada negatif mahupun positif.

Presiden Indonesia misalnya, beliau mampu mempamerkan kredibiliti sebagai seorang pemimpin berwibawa apabila beliau bukan sahaja tidak menyekat rakyatnya melakukan demonstrasi, bahkan menasihatkan agar rakyatnya menjaga keselamatan semasa berdemonstrasi.

Namun keadaan sebaliknya berlaku di Malaysia apabila semangat reformasi rakyat terus dihalang melalui kekangan kuasa dan jiwa rakyat terus tekan melalui doktrinisasi BTN.

Natijahnya, wujud sebahagian rakyat Malaysia yang terus dibelengu dengan ketakutan terhadap perubahan lantas mereka sanggup duduk terperuk dan melayan ugutan pemerintah terhadap periuk nasi mereka.

Pemimpin Mahasiswa Perlu Bangkit

Kini sudah tiba masanya untuk mahasiswa tampil dan membantu dalam memulihkan kembali integriti rakyat Malaysia yang pada pandangan saya amat jauh ketinggalan berbanding rakyat negara maju yang lain.

Saya tidak memaksudkan rakyat Malaysia secara kolektif, namun ada sebilangan besar yang telah dijangkiti sindrom ketakutan dan konflik kepercayaan akibat saduran BTN yang melampaui hak kebebasan minda untuk berfikir dan memilih. Maka rakyat sedang menanti satu suara yang mampu menggegarkan suasana kondusif pemerintah agar mereka tidak menyisih pandang tuntutan rakyat ini.

BTN sudah tidak relevan dengan zaman kebebasan ilmu pengetahuan serta tahap pemikiran masyarakat yang semakin berkembang maju. Oleh itu BTN perlu dirombak atau dimansuhkan secara total.

Maka saya menyeru setiap pemimpin mahasiswa untuk tampil dan menyuarakan pendirian bahawa mahasiswa menuntut agar kerajaan mengkaji semula perlaksanaan BTN melalui rombakan diperingkat dasar mahupun pemansuhan BTN secara total.

Mahasiswa menyokong sebarang usaha untuk membina semangat patriotisma yang tinggi, namun mahasiswa juga meyakini bahawa BTN bukan jalan tunggal untuk usaha tersebut.

*Penulis ialah Pengerusi Kelab Bahasa Dan Sastera (BAHTERA) merangkap aktivis Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 5:33 AM   1 comments
2009 dan jatuh bangun gerakan mahasiswa Malaysia
Friday, December 11, 2009
aizatb
dipetik dari Mahasiswakini
Oleh: Mohd Aizat Salleh*

Sewajarnya, untuk membandingkan aktivisme gerakan mahasiswa dahulu, dengan gerakan mahasiswa hari ini adalah amat tidak releven. Seumpama meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya.

Mahasiswa dahulu diambil kira kehebatannya melalui gerakan-gerakan demonstrasi dan siri-siri desakan yang kebanyakannya menuju kepada pihak pemerintah. Sebagai contoh dalam tahun 1974, mahasiswa menggerakkan demonstrasi 5,000 rakyat di Kelab Sultan Selangor mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap masalah kemiskinan di Baling.

Lebih dari itu pada tahun yang sama di Universiti Malaya, mahasiswa yang diketuai presiden PMUM Kamaruzzaman Yaakub, membina sejarah apabila mengambil alih pentadbiran UM hanya kerana isu kenaikan harga makanan.

Nampak ketika itu, mahasiswa begitu konsisten bersifat radikal dan desakan dan ia diterima sebagai satu perjuangan di mata rakyat.

2009 dan gerakan mahasiswa

mpmum

Tempoh setahun pasca Pilihan Raya Umum ke-12, membuka dimensi baru gerakan mahasiswa dalam membentuk landskap negara Malaysia. Terkesan dengan angin perubahan yang melanda rakyat, lalu memberi impak kepada kemenangan kumpulan Pro Mahasiswa di kampus Universiti Malaya setelah hampir enam tahun dikuasai kumpulan Pro Kerajaan.

Bermula kemenangan itu, mahasiswa mula membuka satu lapangan baru dalam mendepani isu-isu serta mencorak gerakan. Barisan Bertindak Mahasiswa Nasional (BBMN) telah diwajahkan kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN). Perjuangan bercorak negosiasi profesional membawa MPMN menjuarai isu-isu sosial nasional negara.

Permulaan gerakan, transformasi Malaysia

Kegagalan kerajaan Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak menangani kebajikan rakyat, kemelesetan ekonomi, serta hubungan kaum dan agama, membawa Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) membentuk satu ‘Deklarasi Mahasiswa’ demi menyelamatkan generasi dan Malaysia.

Satu kongres telah diadakan di Shah Alam yang dihadiri front-front mahasiswa seluruh Malaysia bagi membincangkan domain-domain penting ke arah pembentukan negara Malaysia yang lebih baik. Antaranya aspek hubungan kaum, kedudukan agama, perlembagaan dan demokrasi, undang-undang, pendidikan, pembangunan ekonomi dan hak-hak asasi rakyat Malaysia.

Perjuangan rakyat antarabangsa

Pertengahan bulan Julai, mahasiswa sekali lagi turun di jalanan apabila membantah perlakuan kejam pembunuhan beramai-ramai di masjid wilayah Selatan Thailand. Hampir 1000 mahasiswa berarak bermula dari Masjid As-Syakirin ke kedutaan Thailand dan diakhiri dengan penyerahan memorandum bantahan.

Beberapa rakan-rakan aktivis yang ditahan atas provokasi polis namun dilepaskan selepas 6 jam dalam tahanan.

Mahasiswa membela rakyat

Mahasiswa sentiasa menjadi urat nadi kepada kesengsaraan rakyat yang ditindas dan dizalimi. Seringkali suara-suara rakyat digemakan mahasiswa melalui perjuangan pembelaan kelompok kecil dan marhaen.

Isu kudeta negeri Perak pada bulan Februari menjadi perhatian mahasiswa apabila GAMIS dan SMM bertindak memobilasi mahasiswa dalam perhimpunan rakyat Perak di Masjud Ubudiah, Kuala Kangsar, Perak.

Dalam masa yang sama di Istana Negara, kumpulan-kumpulan mahasiswa yang prihatin dan simpati dengan perjuangan rakyat Perak telah menghantar satu memorandum bantahan kudeta kepada Yang Dipertuan Agung. Di dalam tuntutan tersebut, mahasiswa mendesak agar dibubarkan segera DUN Perak bagi memberi mandat kepada rakyat Perak memilih pemimpin.

Selain daripada itu, isu kekurangan bekalan air kepada masyarakat Labuan pada awal Disember, telah sekali lagi mendesak mahasiswa yang dianggotai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) dan MPMN bertemu dengan Perdana Menteri di Putrajaya bagi membincangkan penyelesaiannya. Pihak kerajaan akhirnya bersetuju menimbangkan tuntutan mahasiswa di dalam isu tersebut.

Membela hak mahasiswa

Disamping menjadi suara penghubung antara rakyat kepada pemerintah, gerakan mahasiswa turut tidak terlepas dalam memperjuangkan isu yang menimpa hak-hak mahasiswa.

Umpamanya di dalam isu kenaikan harga yuran yang terlampau tinggi dan membebankan di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), telah mendesak tertubuhnya gerakan mahasiswa sedar (GMS) yang menuntut agar pentadbiran KUIS mengkaji dan menurunkan yuran segera. Perjuangan ini mendapat perhatian Menteri Besar Selangor dan akhirnya membuat keputusan memberikan peruntukan kebajikan khas kepada mahasiswa.

Desakan demi desakan keatas undang-undang yang cuba menyekat aktivisme serta membunuh idealisme mahasiswa terus giat dilakukan. Apabila kerajaan bersetuju untuk menggunakan sistem E-Undi di dalam pilihan raya kampus (PRK) , mahasiswa seluruh universiti bangkit dan menubuhkan satu gerakan yang dinamakan Gabungan Mahasiswa Membantah E-Voting (BANTAH), dengan bermatlamat menyekat berlakunya pencabulan demokrasi kampus melalui sistem ini.

Dan pada bulan November, gerakan ini berjaya menyerahkan memorandum bantahan dan tuntutan mahasiswa kepada menteri dan timbalan menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), setelah satu himpunan bantahan E-Voting dilancarkan di UPM.

2009 dan gelombang baru mahasiswa

Tahun 2009 menyaksikan satu gelombang bentuk baru kepada gerakan mahasiswa telah terjadi. Seakan mahu mengembalikan kegemilangan gerakan mahasiswa era 80-an namun dalam dimensi baru yang lebih terkehadapan.

Status check and balance kepada kerajaan pemerintah, mahupun mana-mana pihak masih lagi menjadi prinsip utama gerakan mahasiswa yang tegar untuk digugah walau zaman demi zaman telah berlalu. Mahasiswa akan kekal menjadi kelompok watch dog, menyuarakan pandangan tanpa dikongkong, menjadi benteng pertama rakyat dan bersedia menggantikan kepimpinan seandainya ia memerlukan.

Apa yang pasti, sekatan dan tekanan kepada mahasiswa pasti akan berlangsung tanpa henti. Namun, ini sekali-kali bukan menjadi tunggul yang menghalang dari gerakan itu mati atau rebah sekalipun semua pemimpinnya dibunuh.

Benar seperti ungkapan seorang tokoh aktivis mahasiswa, “Kerajaan atau mana-mana pihak boleh memenjarakan mahasiswa, namun mereka tidak boleh menghalang kebangkitan mahasiswa!”.

————

*Aizat Salleh ialah exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) dan suka mengajak rakan aktivis kepada revolusi pemikiran vis-à-vis ‘Liberal Syariatik’. Malah dengan secawan kopi, beliau mudah berkongsi idea dan pandangan. Kini beliau menerajui Gabungan Mahasiswa Bantah E-undi (BANTAH)
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 3:20 PM   1 comments
GMS gesa wakil rakyat serius selesai masalah air Labuan
Thursday, December 10, 2009
Bangi 10 Disember 09:37 a.m │ Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) menggesa wakil rakyat YB Hj Yusoff Bin Mahal (foto) memberi perhatian serius kepada isu air yang melanda wilayah persekutuan tersebut.

“GMS juga ingin menggesa wakil rakyat Labuan YB Hj Yusoff Bin Mahal untuk memberi perhatian yang serius berhubung isu ini.

Bertepatan dengan konsep 1 Malaysia yang menjadi tema kepimpinan Perdana Menteri, GMS berharap wakil rakyat labuan dapat turun padang untuk mendengar rintihan seterusnya memberi penjelasan yang memuaskan kepada masyarakat labuan.

Biarpun isu air labuan merupakan permasalahan yang rumit, namun tindakan berdiam diri tanpa penjelasan yang memuaskan kepada rakyat hanya akan mengundang rasa tidak puas hati yang berterusan,” ujar Ahmad Syafiq Akmal Ahmad Kamil selaku pengerusi GMS dalam kenyataan media gerakan berkenaan semalam.

GMS

GMS yang berpusat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) semalam bersama-sama melalui Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menyerahkan memorandum kepada perdana menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkenaan isu air berkenaan.

Wilayah Persekutuan Labuan dilaporkan menghadapi masalah bekalan air yang serius sehingga bekalan air terpaksa dicatu disamping menghadapi masalah paip berkarat dan kualiti air yang kurang bersih.

Keadaan berkenaan didakwa bukan sahaja menyusahkan mahasiswa penuntut universiti sekitar Labuan, tetapi juga menghimpit sebahagian penduduk Labuan kerana tidak cukup sumber asasi kehidupan.

Terdahulu, GMS memndaapt perhatian media dengan bantahan terhadap yuran kolej universiti berkenaan yang didakwa “mencekik darah” dan “tidak munasabah”.

Pentadbiran tertinggi kolej universiti juga kurang prihatin dengan masalah tersebut disamping Majlis Perwakilan Pelajar yang “kurang berfungsi”.

Namun, gerakan tersebut telah membuat beberapa pertemuan dan inisiatif dalam menyelesaikan masalah kebajikan berkenaan termasuk bertemu Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor.

“Bukan sahaja di KUIS, tapi kami juga cakna pada kampus lain dalam isu kebajikan mahasiswa,”tambah seorang wakil GMS.
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 9:57 AM   4 comments
MEMO KHAS GMS
Thursday, December 3, 2009
PENCAPAIAN TERKINI HASIL DARIPADA PERJUANGAN MAHASISWA KUIS

Melalui mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang telah diadakan pada 26 November yang lalu, Kerajaan Negeri Selangor melalui arahan YAB Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Bin Ibrahim telah menetapkan keputusan berikut:

1. PIHAK KERAJAAN NEGERI TELAH MENGARAHKAN AGAR PIHAK PENGURUSAN KUIS MELAKSANAKAN KAJIAN SEMULA TERHADAP STRUKTUR YURAN KUIS DAN PERLU DIBENTANGKAN DALAM MESYUARAT KERAJAAN NEGERI YANG AKAN DATANG.
Hal ini akan menyebabkan segala pertikaian mengenai struktur yuran KUIS khususnya bahagian yuran pengajian dan penginapan (B.O.T) berkemungkinan besar dapat diselesaikan.

2. YAB TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID BIN IBRAHIM TELAH MENYATAKAN BAHAWA KERAJAAN NEGERI SELANGOR TELAH BERSETUJU UNTUK MENYALURKAN BANTUAN KEWANGAN SEBANYAK RM 5 JUTA SETIAP TAHUN KHUSUS UNTUK MENAMPUNG BEBAN KEWANGAN MAHASISWA KUIS.
Peruntukan ini sekiranya disalurkan sebagai suntikan dalam struktur yuran KUIS, setiap pelajar KUIS boleh menikmati potongan yuran sebanyak RM 300 seorang untuk setiap semester. Hal ini bermakna kurangan yuran sebanyak 8.5 peratus boleh diberikan kepada mahasiswa Diploma dan 5 peratus untuk mahasiswa ijazah.
Maklumat tambahan : Turut dipanggil dalam mesyuarat MTES ialah pihak pengurusan tertinggi KUIS

BERIKUT ADALAH FASA TERAKHIR GERAKAN GMS YANG AKAN DILAKSANAKAN DALAM MASA TERDEKAT.


1. MAJLIS SERAHAN BANTUAN KEPADA MAHASISWA KUIS YANG KURANG BERKEMAMPUAN.
Bantuan ini akan disalurkan kepada mahasiswa berdasarkan hasil kajian dan seliaan yang telah dilakukan oleh pihak GMS sebelum ini.

2. PERTEMUAN KALI KEDUA DENGAN YAB TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID IBRAHIM, MENTERI BESAR SELANGOR.
Pertemuan kali ini memfokuskan mengenai respon terkini Kerajaan Negeri Selangor setelah menerima serahan memorandum mahasiswa KUIS .


BERIKUT ADALAH TINDAKAN TERKINI YANG TELAH DILAKSANAKAN OLEH GERAKAN MAHASISWA SEDAR


ISNIN, 23 NOVEMBER 2009.PENYERAHAN MEMORANDUM KEPADA YAB TAN SRI DATO’ ABDUL KHALID BIN IBRAHIM DI PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI.
Walaubagaimanapun, memorandum tersebut telah diterima oleh wakil Dato’ MB memandangkan beliau mempunyai urusan luar.

KHAMIS, 26 NOVEMBER 2009. EMPAT ORANG WAKIL GERAKAN MAHASISWA SEDAR TELAH DIPANGGIL KE PARLIMEN UNTUK BERTEMU DENGAN YB ZURAIDA KAMARUDDIN, AHLI PARLIMEN AMPANG.
Dalam pertemuan tersebut, YB Zuraida menyatakan kesudiannya untuk membantu menyelesaikan kemelut yuran KUIS atas kapasiti seorang ahli parlimen.
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 3:08 PM   2 comments
About Me

Name: DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA
Home:
About Me:
See my complete profile
Previous Post
Archives
Powered by

BLOGGER

© 2005 Gerakan Mahasiswa Sedar Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Car Pictures