widgeo.net
Halaman Utama
Logo GMS
Logo GMS
Pengenalan GMS
Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T di atas limpah rahmat-Nya yang sentiasa menaungi umat manusia. Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) merupakan organisasi mahasiswa yang akan bertindak secara vokal dalam menyuarakan tuntutan hak asasi dan keadilan untuk mahasiswa sejagat. Namun begitu suka untuk diperjelaskan bahawa eksistensi GMS adalah bermatlamatkan perjuangan untuk menurunkan harga yuran KUIS yang membebankan. Oleh itu perkara ini menjawab persoalan ramai pihak yang mempertikai kehadiran GMS sebagai organisasi yang tidak bermatlamat dan berperancangan. Susun atur gerak kerja GMS telah menelan beberapa ‘purnama’ sehinggalah menghampiri kemuncak pada jumaat yang lalu. Walaupun begitu himpunan aman tersebut bukanlah titik penyudah bagi perjuangan GMS yang akan terus berpencak sehinggalah matlamat harga yuran diturunkan tercapai. Kewujudan GMS adalah berdasarkan kesedaran yang memuncak untuk membela sahabat mahasiswa yang sedang dihimpit tekanan akibat kekangan harga yuran yang tinggi. Adalah diluar kemampuan GMS yang juga manusia biasa untuk hanya berpeluk tubuh melihat penderitaan saudara se-kampus menahan lapar sehingga memudaratkan diri dan pengajian. GMS bangkit dengan minda optimistik untuk merobah penderitaan kepada pembelaan. Walaupun banyak pandangan yang bersifat kontra dengan cara perjuangan GMS, namun kehadiran ribuan mahasiswa dalam himpunan memorandum yang lalu amat bermakna dalam memberi suntikan semangat kepada GMS untuk meneruskan momentum perubahan. Selaras dengan slogan Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa, GMS akan terus menggerakkan kuasa mahasiswa dalam menuntut pembelaan sehinggalah harga yuran diturunkan. “Jika rakyat sedar kuasa yang dimiliki mereka, lantas mereka akan memerintah”
Other things
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer adipiscing elit. Duis ligula lorem, consequat eget, tristique nec, auctor quis, purus. Vivamus ut sem. Fusce aliquam nunc vitae purus.
Other things
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer adipiscing elit. Duis ligula lorem, consequat eget, tristique nec, auctor quis, purus. Vivamus ut sem. Fusce aliquam nunc vitae purus.
Other things
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer adipiscing elit. Duis ligula lorem, consequat eget, tristique nec, auctor quis, purus. Vivamus ut sem. Fusce aliquam nunc vitae purus.
KENYATAAN MEDIA GMS
Sunday, November 29, 2009
TARIKH: 26 November 2009


Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) tidak menafikan bahawa sebarang kenaikan yuran adalah melalui kelulusan daripada pihak KPT. Persoalan yang kita mohon dipertimbangkan adalah bagaimana pihak KUIS boleh mengcadangkan kenaikan kadar yuran yang terlalu tinggi.
Permohonan kenaikan yuran melalui KPT adalah berkaitan dengan yuran subjek sahaja, tidak termasuk dengan yuran kolej kediaman, fasiliti dan sebagainya.
Saya menyangkal dakwaan Puan Raja Nor Ashikin yang mengatakan bahawa Timbalan Rektor Akademik dan Pembangunan Mahasiswa Tuan Haji Mohd Khairi Hussin pernah mengadakan pertemuan bersama aktivis Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) pada 10 November lalu iaitu selepas penyerahan memorandum pada 06 November.
Saya menyangkal dakwaan Puan Raja Nor Ashikin yang mengatakan bahawa Timbalan Rektor Akademik dan Pembangunan Mahasiswa Tuan Haji Mohd Khairi Hussin pernah mengadakan pertemuan bersama aktivis Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) pada 10 November lalu iaitu selepas penyerahan memorandum pada 06 November.
Saya menegaskan di sini bahawa tiada sebarang pertemuan antara Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) dan pihak pentadbiran KUIS selepas penyerahan memorandum. Apa yang kami terima adalah sangat mengecewakan. Mereka memberikan tekanan, ancaman dan ugutan terhadap pelajar-pelajar yang mengisi borang kaji selidik dan terlibat secara langsung atau tidak dengan Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS).
Kita kesal dengan sikap ketidak professional mereka terhadap isu ini. Kami bukan minta untuk mengiktiraf pertubuhan kami, tetapi kami mohon untuk mendengar suara kami sebagai insan yang bergelar mahasiswa.
Kami juga tidak menafikan pemberian insentif sebagai alternatif untuk reduce yuran bagi pelajar-pelajar yang cemerlang, malah kami di antara pelajar yang menerimanya. Malangnya, perkara ini hanya segelintir dari para pelajar sahaja yang menerimanya. Ada dikalangan pelajar yang masih tidak menerima insentif ini kerana alasan yang diberikan oleh mereka ialah masalah sistem. Kami memperjuangkan hak mahasiswa keseluruhannya, tiada sebarang pengecualian dalam hal ini.
Berdasarkan kenyataan Pegawai KUIS itu juga bahawa KUIS menyediakan borang permohonan kemasukan bersama struktur yuran bagi diploma dan ijazah memang benar tetapi hanya yuran pengajian sahaja yang dikemukakan, bukan yuran keseluruhan seperti yuran kediaman, fasiliti dan sebagainya. Demi pencapaian matlamat Selangor Negeri Bersih, Selamat, Lestari, Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan KUIS perlulah lebih professional menangani isu ini, bukan bersifat egois.


AHMAD SYAFIQ AKMAL BIN AHMAD KAMIL
PRESIDEN Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS)
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 4:53 AM   2 comments
SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM) KENYATAAN MEDIA BERKENAAN ISU YURAN KOLEJ UNIVERSITI ISLAM SELANGOR (KUIS)
SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM)

KENYATAAN MEDIA BERKENAAN ISU YURAN KOLEJ UNIVERSITI ISLAM SELANGOR (KUIS)



25HB NOVEMBER 2009

dipetik dari kamiukm

Dalam usaha membangunkan idealisme anak muda dan mahasiswa, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) juga tidak pernah terkecuali daripada perjuangan bagi menyuarakan soal kebajikan mahasiswa dan anak muda. SMM akan sentiasa memperjuangkan kebajikan mahasiswa lebih-lebih lagi soal kebajikan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Justeru SMM mengeluarkan kenyataan ini bagi menyokong tindakan Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) yang memperjuangkan keluhan dan rasa tidak puas hati mahasiswa KUIS akibat daripada kenaikan harga yuran yang begitu membebankan. SMM dengan ini berpendirian dengan tegas bahawa isu ini hendaklah diambil serius oleh pihak pentadbiran universiti dan mana-mana pihak yang bertanggungjawab.


SMM juga berpendirian bahawa kenaikan yuran yang dikenakan kepada mahasiswa sangat membebankan. Kenaikan lebih 50% daripada harga asal dilihat sebagai keputusan yang zalim oleh pihak KUIS tanpa menghiraukan soal kebajikan pelajar. SMM juga mengecam sekerasnya kenyataan pihak pentadbiran KUIS melalui Pegawai Eksekutif Pemasarannya, Raja Nor Ashikin Raja Ramli, yang dianggap seolah-olah mahu melepaskan tanggungjawab terhadap isu ini. SMM berpendirian bahawa pihak KUIS seharusnya bertanggungjawab kepada mahasiswa dan bukannya kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi dalam soal harga yuran. Tindakan ini dilihat sebagai menafikan peranan mahasiswa dalam universiti. Pihak pentadbiran juga seharusnya mengadakan perbincangan dengan wakil mahasiswa sebelum kenaikan yuran dan bukannya selepas bantahan oleh mahasiswa akibat kenaikan harga yuran yang sangat membebankan.


Oleh yang demikian, SMM mengambil keputusan tegas untuk membantu Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) bagi memperjuangkan isu ini sehingga selesai. SMM juga mahu isu ini dipandang serius oleh semua pihak yang bertanggungjawab khususnya pihak pentadbiran KUIS dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). SMM juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak termasuk Dato’ Haji Mohamad Adzib b. Mohd Isa selaku Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada minggu hadapan bagi membincangkan masalah ini kerana KUIS adalah salah sebuah anak syarikat MAIS. Harapannya agar kes ini dapat diselesaikan dengan segera sekaligus membela kebajikan mahasiswa KUIS.



Hilman Idham

Wakil Kepimpinan Front,

Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 4:19 AM   0 comments
Selamat Hari Raya Eidul Adha..
Friday, November 27, 2009

Salam perubahan,
Segala puji bagi Allah yang menerangi bumi ini dengan cahaya matahari pada siang hari, dan memantulkan cahaya matahari ke bulan pada malamnnya. Apa yang lebih besar kekuasaanNya ialah cahaya agamaNya iaitu Islam tidak akan selama-lamanya padam.
Sahabat-sahabat yang dikasihi,
Kita tiada apa-apa kepentingan di Dunia ini melainkan tanaman-tanaman yang akan kita tuai untuk dibawa ke Akhirat kelak. Sama ada tanaman itu baik atau tidak ia terpulang kepada kita untuk membajainya. Segala bahan-bahan yang digunakan untuk memelihara tanaman tersebut telah tersedia dengan cukup, terpulang kepada kita untuk menggunakannya sebaik mungkin, amat rugi bagi mereka yang tidak memanfaatkannya sebaik mungkin.


Sahabat-sahabat,
Untuk memastikan agar tanaman tersebut dalam keadaan baik, ia memerlukan pemeliharaan yang konsisten. Kita perlu melaksanakan jadual penjagaan dengan penuh komitmen tanpa berbelah bagi, ia tidak boleh dilakukan dengan ala kadar. Dalam menjalankan komitmen kita perlulah melakukan pengorbanan dengan memencilkan kepentingan diri demi mendapatkan tuaian yang terbaik. Inilah yang dikatakan perjuangan, perjuangan menuntut seribu pengorbanan yang jitu dari segala sudut. Dalam memperkasakan perjuangan ini, kita memerlukan kekuatan dari segi fizikal dan spiritual. Adalah sangat dituntut bagi seseorang itu untuk mengutamakan kekuatan spiritual, ini kerana dari kekuatan spiritual lah datangnya kekuatan fizikal. Sahabat-sahabat mungkin ingat bagaimana kisah Nabi Daud a.s yang mana ketika baginda menumbangkan Jalut yang dikenali dengan kegagahannya hanya dengan serangan mudah yang dilakukan oleh baginda a.s. Ketika terjadinya peperangan ini, Nabi Daud a.s masih remaja tetapi baginda telah membuktikan keberaniannya untuk berjuangan menentang kezaliman. Cita-cita baginda menjadi kenyataan disebabkan kekuatan spiritualnya hasil dari tautan hatinya yang kuat kepada Allah s.w.t. Secara mudahnya dapat kita simpulkan bahawa takwa adalah asas kepada perjuangan.


Sahabat-sahabat,
Dikesempatan ini saya mewakili seluruh saf pejuang Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha. Moga pada hari yang mulia ini menjadi batu loncatan bagi kita untuk membumikan cita-cita untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki di Akhirat kelak seterusnya tetap thabat (konsisten) agar keadilan dan kebenaran tertegak di KUIS dan di bumi Allah amnya. Demi Allah, kami akan tetap optimis untuk memacu perubahan di bumi KUIS yang tercinta.
Dari Mahasiswa, Untuk Mahasiswa
AHMAD SYAFIQ AKMAL BIN AHMAD KAMIL
PRESIDEN GMS
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 8:52 AM   0 comments
Pelajar mengadu kos pengajian mahal
Monday, November 23, 2009


Dipetik dari Malaysiakini

Sekumpulan mahasiwa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menyerahkan memorandum mendesak Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim campur tangan bagi mengurangkan kadar yuran bagi pengajian diploma dan ijazah di kolej tersebut.

Kolej tersebut, yang terletak di Nilai, milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Memorandum itu diserahkan oleh Presiden Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) di kolej berkenaan Ahmad Syafiq Akmal Ahmad Kamil kepada ketua setiausaha sulit menteri besar, Norzatun Aini Mohd Kassim di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam jam 3.30 petang ini.

Ahmad bersama kira-kira 40 pelajar KUIS tiba di bangunan SUK setengah jam lebih awal untuk menyerahkan memorandum itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini selepas penyerahan itu, Ahmad berkata Norzatun Aini berjanji akan akan menyerahkan memorandum itu kepada menteri besar untuk perhatian lanjut.

Menurutnya, sejak 2007, yuran pengajian dinaikkan lebih 100 peratus bagi setiap jam kredit sesuatu mata pelajaran berbanding tahun sebelumnya.

"Sebagai contoh, pelajar diploma Syariah membayar RM45 untuk satu jam kredit pada 2006. Tetapi ia dinaikkan sebanyak RM95 pada 2007.

"Ini bermakna, pelajar diploma membayar kira-kira RM1,500 semester pada 2006. Selepas kenaikan itu, mereka kena bayar kira-kira RM2,500 pada 2007," katanya.

Menurut Ahmad, rata-rata pelajar pengajian diploma menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM4,000 setiap semester.

Setelah ditolak beberapa pembayaran lagi seperti yuran kediaman, sukan, insurans takaful, seseorang pelajar menikmati baki antara RM400 hingga RM500 setiap semester.

Pelajar peringkat ijazah pula, katanya, terpaksa menanggung beban kenaikan RM105 bagi setiap jam kredit sesuatu mata pelajaran kepada RM255 pada 2007 berbanding tahun sebelumnya.

Akibat kenaikan itu, tambah Ahmad, ada antara mereka yang terpaksa membayar yuran pengajian kira-kira RM5,000 semester, sedangkan menerima pinjaman kira-kira RM8,000 daripada PTPTN.

"Baki pinjaman itu pula perlu digunakan untuk membiayai perbelanjaan seharian selama empat bulan berikutnya dan ini membebankan pelajar dari keluarga berpendapatan yang rendah," tambahnya.

Abdul Rahim Sabri
Nov 23, 09
6:57pm
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 8:19 AM   7 comments
Blog gerakan Mahasiswa Sedar(GMS) ditiru
Friday, November 20, 2009
Blog sebenar



Blog palsu


Blog gerakan Mahasiswa Sedar(GMS) ditiru oleh pihak tidak bertanggungjawap dengan mengunakan alamat yang hampir sama iaitu (gms-kuis.blogspot.com) bagi mengelirukan orang ramai.Mereka menggunakan header yang dicopy dari blog asal GMS..
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 7:48 PM   1 comments
Pro-M Nasional ‘nasihat’ Presiden MPM KUIS berundur


kuis 1

Untitled-1 copyKemaskini 20 Nov 2.00 a.m : Berikutan isu kenaikan yuran Kolej Universiti Islam Selangor(KUIS) yang belum menemui jalan penyelesaian walaupun setelah didesak oleh Gerakan Mahasiswa Sedar(GMS),Pro Mahasiswa Nasional pula hari ini menasihatkan agar Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIS meletak jawatan “secara hormat”.

Menurut seorang mahasiswa kolej berkenaan yang enggan namanya didedahkan,Presiden MPM KUIS, Nasrul Izad Mohd Isa dikatakan masih lagi membisu terhadap isu tersebut selain dilihat seakan tidak perihatin terhadap nasib yang di alami oleh mahasiswa kuis.

3733179823_460be86944_sJusteru itu,Pengerusi Pro-M nasional,Mohd Syafie Hashim menasihatkan nasrul Izad agar berundur secara hormat sekiranya masih la bersikap demikian.

‘Pro-Mahasiswa amat kecewa dengan kenyataan beliau selaku presiden MPM KUIS di dalam akhbar yang menyatakan beliau tidak tahu menahu tentang isu yang berlaku.”

Syafie menyatakan perkara demikian dengan perasaan kecewa sambil menunjukkan kenyataan presiden tersebut dalam keratan akhbar Berita Harian bertarikh 7 November.

‘Selaku pimpinan utama mahasiswa yang dilantik oleh mahasiswa melalui pilihanraya kampus,seharusnya izadbeliau menjadi pembela nasib mahasiswa yang tertindas baik dalam apa-apa masalah sekalipun bukan sebaliknya membisu, malahan mengutuk tindakan mahasiswa yang bersuara.’ Tambahnya lagi.

Selain meminta agar MPM Kuis melihat tindakan GMS itu daripada sudut yang positif dan mencari punca dan faktor sebenar mereka melakukan tindakan sedemikian,beliau mencadangkan agar inisiatif lain perlu dilakukan secepat mungkin bagi menyelesaikan isu ini.

‘sekurang-kurangnya buatlah dialog terbuka dengan mahasiswa yang tertindas,bukan membisu. Kita mahu mahasiswa yang lahir daripada menara gading ini adalah individu yang berani, prihatin ,bijak , dan mempunyai jati diri yang kukuh . Tiada guna lansung sekiranya mahasiswa yang lahir dari kampus ini hannya menjadi “tukang angguk” kepada sesiapa yang mahu “menjerut” leher mahasiswa.’katanya mengakhiri sidang media petang tadi.

Sebelum ini beberapa hari selepas demonstrasi yang dianjurkan oleh GMS,media dimaklumkan bahawasanya terdapat mantan presiden sebelum ini antaranya Fahrur Rozi Jalaluddin yang menawarkan diri untuk menjadi pihak ketiga bagi menyelesaikan isu ini.

Beliau dikatakan telah menghubungi Exco Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, YB Dr. Halimah Ali untuk mengadakan perbincangan.

Walaubagaimanapun,sehingga hari ini masih belum ada apa-apa perkembangan dan tindakan serius dilakukan dari Persatuan Induk mahasiswa kolej tersebut. -Mahasiswakini

posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 7:06 PM   0 comments
Isu Yuran KUIS : MPMUM desak KUIS bertindak, MB campur tangan
Monday, November 16, 2009



Kuala Lumpur 15 Nov – Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) hari ini mendesak pihak pentadbiran dan pengurusan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) agar segera bertindak terhadap desakan mahasiswa yang menuntut pengurangan yuran pengajian mereka.

Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Yang Di Pertuanya, Mohammad Hafiz Bin Ilyas dalam kenyataannya.

Katanya, KUIS harus meneliti sejauh mana tuntutan Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) yang mendakwa yuran pengajian yang dikenakan kepada mahasiswa kolej itu terlalu tinggi.

“Sepatutnya KUIS mengkaji dengan terperinci tuntutan tersebut, dan bukannya melabelkan kelompok ini. Jika benar ia (yuran) terlalu tinggi, KUIS perlu segera bertindak dan menyelesaikannya” ujarnya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) berkata, sikap (melabel) itu sebagai tidak profesional dan cuba membunuh hak mahasiswa bebas menyatakan pandangan, sedangkan hak tersebut termaktub jelas di dalam perlembagaan Malaysia. Beliau menambah lagi, tindakan bermusuhan dengan pelajar tidak akan menyelesaikan masalah dan akan menimbulkan kesan yang lebih besar.

Exco Kepimpinan MPMUM, Mohd Aizat Bin Mohd Saleh mendesak agar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Bin Ibrahim campur tangan dalam isu ini.

“Sekiranya Hal Ehwal Pelajar KUIS tidak mampu menyelesaikan isu ini, kita (MPMUM) minta Tan Sri Menteri Besar agar campur tangan selaku pengerusi Lembaga Pengarah KUIS” katanya.

“Saya yakin, beliau (Tan Sri Khalid) adalah seorang yang dekat dengan pelajar dan bersedia mendengar masalah kebajikan”tambahnya lagi.

Beliau juga kesal dengan sikap pemimpin pelajar MPP KUIS yang tidak cakna dan tidak cepat bertindak dalam isu harga yuran tersebut. Beliau menegaskan, sikap tersebut tidak wajar ada pada pemimpin pelajar yang dipilih oleh mahasiswa untuk berkhidmat kepada mereka.

“Saya pasti mahasiswa yang turun berdemonstrasi tempohari adalah kerana isu ini terlalu lama dan lambat diselesaikan, dan (juga) kerana usaha untuk berunding menemui jalan buntu” ujarnya.

Isu harga yuran yang tinggi mula tercetus di KUIS apabila sekumpulan mahasiswa yang digelar Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) mengadakan demonstrasi mendesak diturunkan harga yuran pengajian.

GMS mendakwa, harga yuran tersebut sangat membebankan pelajar yang datang dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah. Sehubungan itu, pihak KUIS menyatakan kesediaan untuk menyelesaikan isu tersebut, namun sehingga hari ini tiada tindakan diambil.-mahasiswakini
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 5:03 AM   0 comments
Risalah undang-undang GMS
Sunday, November 15, 2009
Demonstrasi bukanlah kelakuan mereka yang ketinggalan zaman, berfikiran sempit, tidak matang dan bersifat sia-sia. Sebaliknya, demonstrasi merupakan inisiatif terakhir yang dilakukan oleh mereka yang mempunyai kesedaran yang tinggi dalam memperjuangkan hak mereka. Demonstrasi juga merupakan amalan demokrasi yang telah dipersetujui oleh dunia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) seperti yang termaktub dalam artikel 20 (1), Deklarasi Antarabangsa mengenai Hak Asasi Manusia (Universal Declaration on Human Rights), “Everyone has the right to freedom of peaceful assembly and association”.
Dalam Perkara 10 fasal (2) b, Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan bahawa rakyat Malaysia berhak berhimpun secara aman dengan tidak bersenjata. Jika kita lihat, terdapat banyak himpunan aman mahupun demonstrasi yang pernah berlaku di Malaysia seperti mana yang telah berlaku di beberapa institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta. Semuanya berlaku dengan aman melainkan gangguan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang sebenarnya telah mencetuskan huru-hara.
Sekiranya pihak pengurusan mahu mengambil tindakan tatatertib kepada pelajar yang terlibat dalam himpunan, apa alasan kukuh mereka untuk mengambil tindakan tersebut? Sedangkan KUIS jelas tidak terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Tambahan pula, Perkara 10,1(a)(b)(c) jelas menunjukkan bahawa Perlembagaan Persekutuan telah memberi kebebasan untuk berhimpun secara aman . Hal ini membuktikan Perkara 7, Peraturan Tatatertib Pelajar-Pelajar KUIS sama sekali telah berlaku ultravirus iaitu melebihi had kuasa dan sangat bercanggah dengan perkara (10) Perlembagaan Persekutuan. Maka secara kesimpulannya, segala apa yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal secara automatik.
Tambahan pula, himpunan aman tersebut telah mendapat kebenaran secara lisan daripada Timbalan Rektor kepada wakil GMS. Selain itu, himpunan telah berjaya dijalankan secara aman dan selamat serta berakhir dengan damai setelah penyerahan memorandum ‘Desak’ selesai dilakukan. Oleh itu, mahasiswa sekalian tidak perlu bimbang dengan segala bentuk ugutan mahupun ancaman daripada pihak-pihak tertentu.
Untuk makluman semua pihak, himpunan yang dianjurkan oleh pihak Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS) bukanlah demonstrasi yang bersifat ganas dan mencetuskan huru-hara. Sebaliknya hanyalah himpunan aman bagi mengumpulkan seluruh suara mahasiswa KUIS bagi menyatakan pendirian mereka dalam mendesak pihak pengurusan menurunkan kadar yuran yang semakin membebankan para pelajar. Himpunan aman yang dianjurkan GMS berlaku setelah diplomasi yang dijalankan tidak menemui jalan penyelesaian. Atas kesedaran ini, pihak GMS mengambil inisiatif terakhir bagi menyedarkan pihak pengurusan akan pentingnya soal kebajikan mahasiswa melalui himpunan aman dan penyerahan memorandum. Pihak GMS memberi jaminan untuk menangani segala permasalahan pelajar berkaitan himpunan aman GMS dengan sebaik mungkin. Segala aduan bolehlah diadukan kepada Unit Perudangan GMS di talian -013-2986339
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 6:11 AM   6 comments
Surat terbuka Pengerusi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) merangkap Presiden PMIUM

Assalaamualaikum W.B.T…


Salam ukhwah saya ucapkan buat seluruh mahasiswa & warga Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Semoga kalian terus meraih rahmat Allah dengan usaha & jihad yang tidak putus-putus dalam mendalami ilmu, berpatisipasi dalam aktivisme mahasiswa & mengendong beban dakwah sebagai sebuah entiti mahasiswa Islam. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang menggabungkan front-front mahasiswa di seluruh Malaysia seperti Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Malaysia Youth & Student Democratic Movement (DEMA), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) & Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) merakamkan penghargaan di atas tindakan kalian yang berani untuk bersuara dengan kesedaran yang tinggi berpaksikan kepada kesusahan yang kalian alami.

Pada tanggal 6 November yang lalu, kalian telah memaknakan kembali gerakan mahasiswa yang selama ini dipandang sepi. Kalian telah menunjukkan bahawa mahasiswa Islam di KUIS masih lagi mempunyai akal untuk menilai & membuat keputusan perkara yang mana baik & perkara yang mana salah. Dan yang paling utama, kalian masih lagi mempunyai keberanian untuk memperjuangkan yang hak & menolak segala bentuk penindasan, kezaliman yang ditimpakan ke atas kalian oleh individu-individu yang memandang keuntungan dalam mengendalikan institusi Islam ini, jauh melebihi nilai moral & belas kasihan.

Saya cukup yakin, demonstrasi yang telah kalian gerakkan tempoh hari bukanlah suatu bentuk tindakan yang membabi-buta. Pastinya ia telah dimulakan dengan perbincangan-perbincangan yang akhirnya telah menemui jalan buntu di peringkat Gabungan Mahasiswa Sedar (GMS) dalam membela kebajikan seluruh warga mahasiswa di KUIS. Malangnya saya berasa sedih apabila Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIS, Sdr. Nasrul Izad Bin Isa dalam suatu kenyataan akhbarnya telah membuat kenyataan bahawa “beliau menegaskan bahawa MPM tidak terbabit dengan tuntutan & penyerahan memorandum itu”. Pada saya, inilah kenyataan yang paling tidak bertanggungjawab oleh seorang pemimpin mahasiswa yang telah diberikan amanah & tanggungjawab. Maafkan saya teman-teman, dalam hal ini saya terpaksa mengecam tindakan Presiden MPM KUIS tersebut kerana membelakangi prioriti beliau yang sepatutnya dilihat vokal dalam menyuarakan suara & membela hak kalian. Beliau seharusnya malu dengan pengkhianatan amanah yang telah beliau lakukan itu.

Dan saya bertambah sedih apabila ada suara-suara di pihak atasan kalian yang mengugut serta giat melaksanakan roadshow di seluruh kampus untuk memburuk-burukkan GMS & kalian sendiri. Ternyata ianya merupakan suatu tindakan yang zalim & langsung tidak pernah memikirkan soal belas kasihan kepada kalian. Saya pelik, benar-benar pelik. Dalam keadaan kalian yang cukup susah untuk survive dalam usaha menuntut ilmu-ilmu Allah, tergamak lagi mereka meletakkan kesalahan di bahu kalian yang terang-terangan hanya menuntut keadilan & pembelaan sewajarnya dari mereka yang selama ini kalian pandang ibarat ‘ibu & ayah’? Mereka mencaci, menghina, bahkan merendah-rendahkan martabat kalian dengan fitnah yang melampau-lampau hanya semata-mata tindakan benar yang telah kalian lakukan.

Mereka berhujah dengan mengatakan reputasi KUIS telah jatuh dengan tindakan kalian. Bukan, reputasi KUIS tidak pernah jatuh dengan tindakan kalian. Bahkan kalian dipandang tinggi kerana tidak membenarkan diri kalian diperkotak-katikkan oleh mereka. Akan tetapi, reputasi KUIS telah lama jatuh di mata ibu & ayah di kampung-kampung sebaik sahaja mereka tahu yang anak mereka dikenakan yuran yang melampau sehingga membakikan wang perbelanjaan anak-anak mereka hanya RM100 untuk satu semester. Reputasi KUIS telah lama jatuh sebaik masyarakat luar tahu ada kalangan mahasiswa KUIS yang terpaksa tangguh pengajian kerana tidak mampu menanggung yuran yang mencekik itu. Dan reputasi KUIS telah lama jatuh sebaik orang luar tahu ada mahasiswa KUIS yang tidak makan kerana memang benar-benar tidak mempunyai wang untuk perbelanjaan.

Saya sejujurnya tidak pasti, adakah mereka kecewa kerana tidak berjaya memaksa kalian mendengar cakap mereka? Atau adakah mereka kecewa kerana tidak dapat lagi melihat kalian terus membuat parttime job seperti basuh pinggan di kantin-kantin & mengambil upah mop lantai untuk membersihkan kafe-kafe hanya semata-mata untuk menanggung perbelanjaan pengajian yang setinggi bukit itu? Atau juga adakah mereka kecewa kerana tidak dapat lagi melihat airmata kalian yang mengalir tatkala menahan perut yang lapar di waktu malam ketika mana tidak mampu untuk membeli stok maggi yang kehabisan? Atau mungkinkah mereka berasa kecewa kerana tiada lagi ibu & ayah yang merayu-rayu dari kampung untuk melihat anak mereka kembali belajar selepas terpaksa tangguh semester kerana tidak cukup wang untuk membayar yuran dan lain-lain?

Amatlah malang sebenarnya keadaan ini berlaku di sebuah institusi pengajian Islam yang sewajarnya meletakkan nilai-nilai Islam melebihi kepentingan peribadi & nilai kesenangan duniawi. Dan mahasiswa Islam yang dididik dengan nilai al-adalah yang merupakan kemuncak dalam maqasid syar’iyyah sewajarnya tidak tunduk dengan keangkuhan & kezaliman yang seumpama ini. Di bahu kalian telah terpikul suatu tanggungjawab besar untuk membela hak kalian yang telah dirobek-robek. Percayalah! Keperitan ini tidak akan surut seandainya kalian mengundur kembali ke belakang.

Ayuhlah teman! Kejapkan langkah juangmu untuk melawan arus penindasan ini. Jangan kembali menoleh ke belakang. Kalian telah disedarkan & jangan kembali lelap! Kerana lelapnya kalian dalam perjuangan ini hanya akan menambahkan lagi keangkuhan mereka yang sama sekali tidak pernah merasa belas dengan kalian… Wallahua’lam.

Yang menyokong kalian,

_________________________
SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Pengerusi,
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 5:46 AM   3 comments
Demontrasi mengikut Pandangan Islam
Soalan:

Banyak org berpendapat demontrasi adalah suatu perjuangan yang sia-sia, antara alasannya adalah:
1. Seolah-olah mereka yang berdemo itu dianggap sebagai golongan pemberontak sepertimana yang pernah berlaku di zaman Saidina Uthman.
2. Mereka juga dianggap golongan Khawarij kerana melawan pemerintah Islam.
3. Tidak patuh dan taat kepada pemerintah dan melanggar perintah Allah seperti firman-Nya dalam ayat 59 surah an-Nisa.
4. Sepatutnya menggunakan saluran yang betul dan berbincang dengan pihak pemerintah bagi mencari penyelesaian dan bukannya dengan berdemo.
5. Tindakan berdemo tidak menepati hikmah dalam berdakwah.
Dan banyak lagi.

Jawapan:
Persepsi dan sikap seorang Muslim dalam apa jua bidang dan isu yang dihadapi perlu menurut haluan dan tunjuk ajar al-Quran dan hadis. Pendiriannya perlu diselaraskan dengan ajaran asas dan trend pemikiran umat Islam, yang terdiri daripada para alim ulama yang faqih, ikhlas, berani serta mempunyai integriti. Sebab itu kita perlu merujuk tulisan dan huraian mereka tentang hukum Islam mengenai demonstrasi secara aman dan tunjuk perasaaan pada umumnya; justeru mereka sebagai ilmuan syar’i berfikir mengikut urutan keutamaan atau susunan hujah yang teratur dan berurutan daripada yang maha penting kepada yang penting, kurang penting dan seterusnya.
Apabila hukum sesuatu isu itu jelas berdasarkan dalil al-Quran dan hadis dalam susunan yang betul, maka setiap dalil yang lebih rendah martabatnya daripada al-Quran dan hadis menjadi tidak valid atau tidak berupaya menolak dalil yang lebih tinggi martabatnya dalam susunan logika agama. Lebih-lebih lagi jika alasan yang dianggap sebagai hujah tersebut boleh ditolak dan di tangkis dengan logika kontra.
Amar makruf dan nahi mungkar adalah satu kewajipan agama. Pelaksanaannya dalam konteks kehidupan hari ini mestilah berdasarkan kefahaman peranan agama yang menyeluruh dan lengkap. Apakah yang dimaksudkan dalam pemerintahan Islam yang sebenarnya. Apa kepincangan, kebobrokan, kezaliman, dan penipuan yang sedang berlaku hari ini. Apakah bentuk-bentuk perjuangan yang terbuka dan tindakan yang boleh digarap. Apa urutan keutamaan serta yang lebih penting dan mendesak untuk ditangani dan sebagainya.
Dalam urutan berfikir seperti yang tertera dalam soalan di atas terdapat kesalahan yang jelas dan sifat berfikir secara rancu dan semberono. Hujah pertama adalah hujah akal dengan menyamakan orang yang demontrasi secara aman sebagai bughah atau pemberontak yang sempat membunuh khalifah ketiga Islam iaitu Saidina Uthman pada suatu masa dahulu. Mendahulukan hujah ini membayangkan kesilapan qias atau tashbih. Pertama, orang yang berdemo secara aman untuk menuntut keadilan dan bukan untuk menimbulkan kekecohan.
Hujah kedua, mengandungi kekaburan persepsi mengenai pemerintahan Islam dan persamaan orang yang berdemonstrasi secara aman dengan pemberontakan puak Khawarij yang keluar dengan pedang dan senjata bagi menggulingkan Saidina Uthman 14 kurun yang silam. Pemerintahan Islam mempunyai ciri asas yang terperinci seperti yang telah dihuraikan oleh para alim ulama. Sudah pasti pemerintahan Islam yang sebenar tidak akan merangkum atau membenarkan pelbagai jenis kezaliman, salah urus, penipuan dan sebagainya.
Hujah ketiga seolah-olah mahu mendangkalkan kefahaman orang ramai mengenai ketaatan kepada pemerintah. Dalam ajaran Islam, terdapat prinsip ketaatan kepada Ulil Amri atau pemerintah Islam dengan ciri-ciri yang telah dihuraikan dengan panjang lebar dalam kitab-kitab khusus yang membicarakan mengenai pemerintahan yang sebenar. Dalam konteks demonstrasi para pemimpin berhujah dan bersandarkan kepada asas dalil dan persepsi yang betul mengenai syariat. Justeru yang ikut bersetuju dan menyertai demonstrasi itu adalah tokoh-tokoh ulama, cendiakawan Islam, kaum bijak pandai dan berbagai-bagai lapisan kepimpinan.
Hujah keempat ialah suatu kesimpulan akli yang berkaitan dengan urutan keutamaan yang dianggap lebih betul oleh orang berkenaan. Hujah ini sudah ditangkis oleh tokoh-tokoh yang berdemonstrasi bahawa mereka sudah banyak kali menyuarakan tuntutan dalam kadar yang sangat mendesak dan ketidakadilan yang sudah dilakukan namun hingga kini tiada sahutan yang sebenarnya daripada pihak yang bertanggungjawab. Oleh itu, dengan mengadakan demonstrasi dapat mendesak pentadbiran supaya mematuhi tuntutan mahasiswa.
Hujah kelima mengenai demonstrasi bukan cara berhikmah untuk berdakwah. Ini hujah akal yang juga tidak kukuh. Oleh kerana sebelum ini tidak mendapat respon yaang sewajarnya daripada pihak berkenaan, maka sudah tentulah demonstrasi secara aman dengan penampilan aduan dan memorandum khusus kepada rektor suatu yang mat berkesan dan berhikmah sebagai suatu cara daripada pelbagai cara dalam bertindak.
Sementelahan pula hak untuk berhimpun secara aman bagi menyatakan hasrat dan sikap adalah suatu munasabah. Oleh itu, demonstrasi aman adalah salah satu cara bertindak yang bijak dari sudut dakwah. Dengan demikian rakyat akan tahu dan melihat betapa tidak adil dan zalimnya pentadbiran yang mereka agungkan selama ini. Ini menolong mereka sedar dan mengubah pendirian serta mendorong mereka untuk melihat kebenaran.
Bertolak daripada sanggahan yang ditujukan jelaslah bahawa sikap pihak yang berkenaan sangat lemah dan tidak menurut urutan pemikiran syar’i yang sebenar. Tidak mendudukan persoalan dan kewajipan amar makruf dan nahi mungkar dalam posisi yang sebenarnya dalam menangani kemungkaran. Allah SWT berfirman dalam surah Hud ayat 113 yang bermaksud:
”Janganlah kalian cenderung menyokong orang yang zalim kelak kalian akan dibakar oleh api neraka jahanam...”.
Oleh itu mari kita berfikir berasaskan sandaran dan manhaj syarak dengan mengikut pandangan alim ulama yang muktabar dan jangan berfikir secara sembrono dan tunggang-terbalik tanpa menepati sistem awlawiyat al-syariah.
WallahuA’lam.
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 1:47 AM   2 comments
SUARA GMS Kebobrokan HIMSIS
Salam Perjuangan dari mahasiswa untuk mahasiswa KUIS. Tanpa disedari tahun 2009 semakin hampir melabuhkan tirainya bagi menandakan kuasa tertinggi perwakilan mahasiswa KUIS sudah tiba ajalnya bersama dengan sumbangan mereka kepada mahasiswa, tidak ketinggalan program tahunan MPM iaitu HIMSIS yang mana ianya perlu diadakan di awal pemerintahan MPM, sebaliknya diadakan di hujung tahun. Namun di sini kita bukan mahu membicarakan mengenai masa yang sesuai untuk diadakan HIMSIS, tetapi mengenai kebobrokan HIMSIS yang dianjurkan baru-baru ini. HIMSIS kali ini nampak sedikit kelainannya, dengan kehadiran pihak pengurusan KUIS, termasuklah individu-individu yang berselindung disebalik “title” ustaznya. Tidak perlulah disebut siapa, sendiri mau ingat la! Tahniah kepada mereka yang menjayakan program ini, serta syabas juga kerana berjaya mengaburi sebahagian mahasiswa yang hanya terima bulat-bulat apa yang dibentangkan pada malam itu. Perlu diingatkan disini, kita bukan lagi budak-budak hingusan yang hanya terima sahaja apa yang diberi. Kita dapat lihat pada malam berkenaan banyak persoalan yang ditimbulkan oleh mahasiswa. Termasuklah isu yuran yang hangat diperkatakan. Namun, amat mengecewakan apabila MPM yang diharap-harapkan dapat menyelesaikan perkara ini, hanya menjadi boneka pihak pentadbiran dalam menjawab semua pertanyaan yang diajukan oleh mahasiswa. Kononnya, isu penurunan yuran yang hangat diperkatakan kini, hanya ternoktah pada malam itu sahaja. Beginikah pemimpin yang kita harapkan dapat memperjuangkan hal kebajikan mahasiswa, hanya berselindung di sebalik pentadbiran KUIS. Jadi tak silaplah jika diandaikan MPM sebagai Majlis Perwakilan Management. Kami tidak menafikan sumbangan-sumbangan yang telah diberikan oleh kepimpinan bagi sesi ini, tetapi mahasiswa mahukan suatu pembaharuan yang akan mencorak masa hadapan. Turut dihangatkan juga pada malam itu dengan berita-berita panas yang tidak diketahui dimana hujung pangkalnya. Antaranya, isu gaji haram dikalangan pensyarah KUIS, pembatalan tawaran praktikal dikalangan pelajar tahun akhir, penarikan kembali biasiswa yang diperolehi dikalangan mahasiswa dan nama KUIS yang sudah tercalar. Namun perlu difikirkan sejauh mana kesahihan isu-isu ini.
Isu Gaji Haram
Boleh dikatakan isu ini sudah menjadi buah mulut setiap warga KUIS yang kononnya ia ditimbulkan oleh Gerakan Mahasiswa Sedar (GMS). Namun, sejauh mana kesahihan khabar angin ini? Perlu diingatkan kita jangan mudah menuding jari kepada mana-mana pihak tanpa usul periksa tentang sesuatu perkara. Justeru itu, warkah ini bertujuan menjawab kembali segala tohmahan yang dilontarkan kepada pihak GMS. Disini kami di pihak GMS menafikan sekeras-kerasnya terhadap tuduhan tersebut. Begitu mudah kita melemparkan tuduhan kepada pihak lain. Kalau benar la individu-individu yang membuat tuduhan ini pengecut untuk bangkit memperjuangkan hal kebajikan mahasiswa, jangan la menjadi penghasut dengan menyebarkan khabar-khabar angin yang tidak sepatutnya ditimbulkan. Tidak ubah seperti tumbuhan parasit, sudah la menumpang dan tak memberi apa-apa manfaat, kemudian mahu memusnahkan pulak tumbuhan lain. Justeru, GMS mahu menegaskan sekali lagi bahawa kenyataan pensyarah makan gaji haram bukanlah datangnya daripada pihak GMS.
Pembatalan Tempat Praktikal dan Biasiswa
Seterusnya, mengenai pembatalan tempat praktikal dan biasiswa dikalangan penuntut di tahun akhir yang kononnya berlaku selepas demonstrasi pada 6/11/09 (Jumaat) yang lepas. Jika benar dakwaan tersebut dikeluarkan, kemukakan buktinya. Apakah relevannya pihak bank membatalkan praktikal oleh kerana demonstrasi isu yuran yang domestik ini? Sedangkan demonstrasi Palestin pada semester yang lepas tidak ada apa-apa tindakan yang diambil. Apa bezanya? Adakah kerana isu yuran ini melibatkan konspirasi dalaman yang mengganggu gugat individu yang berkepentingan? Ataupun isu ini mungkin akan membongkar rahsia masalah pengagihan kewangan KUIS yang menyebabkan biasiswa dan praktikal dibatalkan serta merta? Fikirlah sejenak. Adakah logik pembatalan perjanjian yang berkontrak dibuat melalui mesin faksimili? Boleh juga dikatakan praktikal ini dibatalkan oleh pihak KUIS sendiri bagi tujuan mengugut dan menakutkan mahasiswa berani yang menuntut hak dan kebajikan mereka. Sekiranya perkara ini terjadi, tindakan undang-undang akan diambil dari unit perundangan GMS sendiri. Kepada mahasiswa yang diancam atau diugut, bolehlah melaporkan ancaman dan ugutan tersebut terus kepada Ketua Unit Perundangan GMS.
Imej KUIS yang Tercalar
Jika kita mahu bincangkan soal imej KUIS yang tercalar, memang diakui ianya benar. Tetapi kita perlu lihat daripada akar umbi bagaimana isu ini mula tercetus. Jika sebelum ini pihak pentadbiran bijak dalam mengatur penyelesaian berkenaan isu penurunan yuran ini, rasanya tidak timbul soal ketidakpuasan hati di kalangan mahasiswa. Tetapi, sebaliknya berlaku apabila pentadbiran memandang enteng terhadap isu ini. Rasanya, sudah berkali-kali isu yang sama dibangkitkan dalam setiap perjumpaan HIMSIS, tetapi isu ini seolah-olah terkubur bersama pengakhiran HIMSIS itu sendiri, tanpa ada pemakluman sejauh mana langkah-langkah yang telah diambil oleh pentadbiran dalam menyelesaikan isu ini. Jadi jangan salahkan mana-mana pihak apabila demonstrasi diadakan kerana sudah berbuih-buih mulut MPM sebelumnya membuat rundingan namun tidak menunjukkan isu ini dapat diselesaikan dengan penurunan yuran itu sendiri. Soal imej KUIS yang sudah tercalar, rasanya pihak pentadbiranlah yang sewajarnya dipersalahkan bukan suara mahasiswa.
Perkembangan Isu Yuran
Sedar tidak sedar, sudah lebih seminggu memorandum “DESAK” dihantar secara beradabnya kepada pihak pentadbiran. Namun tiada sebarang tindakan pun yang diambil berkenaan isu yuran ini. Sedar tidak sedar juga pihak pentadbiran bijak mencatur strategi untuk mengaburi mata mahasiswa. Antaranya menganjurkan HIMSIS. Tahniah kepada MPM kerana berjaya merencana kebajikan mahasiswa tanpa sebarang pelaksanaan. Tidak lupa juga kepada TUAN PRESIDEN MPM yang berjaya mencapap dan menumpang diatas sumbangan MPM sebelum ini tanpa sebarang sumbangan dari beliau sendiri contohnya yuran dikurangkan bagi pointer yang bagus pada zaman pemerintahan MPM sebelum ini. Tidak disangka juga TUAN PRESIDEN sendiri bijak mengatur kata dan helahnya tentang isu wireless seperti dia yang selesaikan. Sedangkan tiada sebarang tindakan pun yang diusahakan dan sekali lagi beliau berjaya mencapapkan diri didalam kejayaan GMS membuat pihak pentadbiran mengambil tindakan terus dalam isu wireless ini. Berbalik kepada ‘management’ yang berusaha mendoktrin mahasiswa untuk melupakan isu yuran ini dan membuat pelbagai propaganda serta fitnah untuk membuatkan mahasiswa membenci GMS yang memperjuangkan isu yuran ini. Setelah mahasiswa kembali kepada tahap pemikiran kelas ke-3 mereka seperti sebelum ini, mudahlah pihak tertentu atau pentadbiran sendiri mengambil kesempatan keatas pelanggan mereka. Banyak ketidaktelusan yang cuba diselidungkan oleh pihak pentadbiran. Ada juga mahasiswa yang teraniaya sedar akan perbuatan mereka ini diugut supaya mereka tidak berani bersuara. GMS memandang serius isu ini dan teguh dengan pendirian yang yuran akan tetap turun!
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 1:46 AM   3 comments
Surat Penafian Fitnah Kepada Para Pensyarah KUIS
Firman Allah SWT :

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan (ketidak tahuan) kamu mengenainya - Sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat ; 6)

Kehadapan pendidik dan guru-guru yang dimuliakan,

Terima kasih atas segala pengorbanan dan jasa baik yang telah kamu berikan kepada kami. Mohon maaf seandainya suara yang telah kami laungkan telah menyakiti hatimu. Kami menyedari betapa kami perlu beradab dan memuliakanmu. Namun, semakin hari, semakin kedengaran suara fitnah terhadap kami oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, iaitu kami dikatakan taelah mengeluarkan kenyataan ‘Pensyarah KUIS Makan gaji Haram’.

Demi Allah dan Rasul-Nya, kami menafikan sekeras-kerasnya fitnah ini.Matlamat perjuangan kami agar yuran dapat diturunkan kepada kadar yang bersesuian. Sebagai mahasiswa, kami tetap dengan pendirian kami untuk terus berusaha sedaya upaya agar matlamat kami tercapai, demi kebaikan dan kebajikan seluruh mahasiswa KUIS.

Akhirnya, kami memohon maaf atas kekurangan dan kelemahan kami. Di pihak kami, kami masih menyiasat siapa dalang utama kepada tersebarnya fitnah tersebut. Doa dan harapan kami, semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan memberkati kehidupan kamu sekalian. Wahai guru-guru kami, jasamu tetap kami kenang sehingga akhir hayat kami.

“Berkerja Untuk Islam Kerana Allah”
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 1:45 AM   0 comments
GMS Mendesak Yuran Turun
Dalam keghairahan KUIS untuk mengejar statusnya untuk mencapai taraf Universiti penuh, pelbagai perubahan drastik dan pembangunan yang begitu pesat membangun telah dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat tersebut. Serentak dengan hasrat murni itu juga, mahasiswa KUIS telah dibebankan dengan kenaikkan harga yuran yang begitu mendadak yang sememangnya menjadi bebanan dan tekanan yang amat dahsyat di kalangan mahasiswa KUIS khususnya.

Menurut kajian, kenaikan yuran KUIS telah dirasai sekitar 2006 dan kemuncak kepada peningkatan yuran ialah pada tahun 2007 di mana ia naik sehingga dua kali ganda. Kenaikan ini sekaligus membebankan mahasiswa sehingga menyebabkan segelintir daripada mereka terpaksa menangguhkan pengajian dan ada yang terus berhenti. Selain itu juga, peningkatan kadar yuran KUIS tidak setimpal dengan kemudahan yang disediakan.

FAKTA KES

Pada 27 Oktober 2009 pihak Gabungan Mahasiswa Sedar (GMS) yang terdiri daripada beberapa pimpinan pelajar telah melakukan pertemuan dan edaran secara langsung kepada mahasiswa khususnya yang tinggal di asrama. Hasil kutipan borang kaji selidik tersebut pihak GMS berjaya mengumpul sebanyak 1,882 respondan.

Edaran borang soal selidik ini dilakukan adalah bertujuan bagi mendapatkan maklum balas secara kolektif daripada mahasiswa berkenaan dengan isu kenaikan yuran. Pertanyaan dari borang soal selidik yang dibuat adalah seperti berikut:

1. Saya berpuas hati dengan kadar yuran yang ditetapkan.

2. Saya merasakan yuran di sini lebih murah berbanding yuran di IPTS yang lain.

3. Pinjaman yang saya perolehi dapat membiayai yuran pengajian dan kos sara diri saya.

4. Saya merasakan pihak pengurusan wajar mengenakan caj perkhidmatan pengangkutan (bas) dan CyberCafe walaupun sudah termasuk di dalam yuran fasiliti.

5. Pihak pengurusan perlu membentangkan penyata kewangan bendahari kepada mahasiswa.

6. Kemudahan yang saya perolehi bersesuaian dengan yuran perkhidmatan yang dikenakan.

7. Saya merasakan yuran pengajian tidak membebankan dan tidak mempengaruhi sesi pembelajaran saya.

8. Pada pandangan anda, wajarkah yuran diturunkan? Sekiranya ya, nyatakan sebab.

9. Adakah anda akan turut bersama-sama dengan gerakan mahasiswa dalam usaha menurunkan harga yuran.

Pada 2 november 2009, rundingan 3 pihak diantara Jabatan pembangunan Mahasiswa (JPM), Bendahari KUIS dengan pihak GMS sendiri berkenaan isu yuran ini telah dinafikan atas alasan tidak mempercayai suara mahasiswa

Pertemuan terus diadakan dengan Timbalan Rektor Akademik dan Mahasiswa yang turut dihadiri oleh Pengarah Akademi Islam KUIS dan dua timbalannya pada 3 november 2009. Dalam perbincangan tersebut, Timbalan Rektor berdolak dalih dengan memberi pelbagai alasan dan timbul keraguan di pihak GMS apabila Timbalan Rektor menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui berkenaan maklumat kenaikan yuran. Beliau juga meminta pihak GMS supaya mengemukakan bukti kolektif suara mahasiswa berkenaan isu ini.

Sehubungan dengan itu, pihak GMS telah mengambil inisiatif mengadakan sesi penerangan (speaking corner) bermula 3 november 2009 sehingga 5 November 2009. Ini adalah langkah yang diambil hasil daripada persoalan yang ditimbulkan oleh mahasiswa dalam mendapatkan penjelasan mengenai isu ini.

Pada 5 November 2009, pihak GMS dengan kerjasama pihak masjid serta pimpinan-pimpinan pelajar telah menganjurkan solat hajat perdana selepas solat fardhu isya’ berkenaan isu ini. Solat hajat perdana tersebut telah dihadiri seramai kira-kira 400 orang mahasiswa. Selepas solat hajat tersebut sesi penerangan bergerak terus diadakan berhampiran asrama pelajar yang mendapat sambutan hampir 1000 orang.

6 November 2009 adalah hari kemuncak perhimpunan aman dan penyerahan memorandum kepada Rektor KUIS.

PENDIRIAN GMS

Oleh itu, GMS ingin menegaskan bahawa pihak berwajib mesti menurunkan kadar yuran berdasarkan tuntutan-tuntutan bertulis di dalam memorandum.

“Dari mahasiswa untuk mahasiswa”

Gabungan Mahasiswa Sedar (GMS)
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 1:43 AM   0 comments
Salam Perjuangan Mahasiswa
Segala pujian bagi Allah s.w.t Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Panglima Agong Rasulullah s.a.w, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekalian.


Saya merafa’kan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah rahmat kekuatan yang di anugerahkanNya, GMS (Gerakan Mahasiswa Sedar) bersama jenteranya terus memacu perubahan demi mencapai matlamat yang satu iaitu, yuran diturunkan.


Adalah dengan ini, suka saya berpesan kepada diri saya dan sahabat-sahabat yang menjadi penggerak dan penyokong bagi GMS untuk terus thabat (konsisten) di dalam perjuangan ini. Inilah perjuangan, tiada perjuangan tanpa pengorbanan . Jangan takut dengan tekanan, halangan, dan provokasi murahan dari pihak-pihak yang cuba menghalang jalan yang murni ini. Firman Allah s.w.t:

“Apakah kamu menyangka dapat memasuki syurga dan kamu tidak didatangkan (ujian) kamu sebagaimana (telah diuji) mereka-mereka yang terdahulu dari kamu, mereka ditempuh kesusahan dan kesulitan, terasa (bumi) bergegar sehingga mereka yang beriman bersama Rasul berkata: “Bila lagi pertolongan dari Allah?”, Rasul berkata: “Bahawasanya sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.”

( Al-Baqarah: 214)


Suka saya memaklumkan kepada semua individu yang berdiri dibelakang GMS untuk melaporkan sebarang tekanan, halangan atau ugutan yang diterima kepada kami agar pihak kami dapat menyediakan prosedur pembelaan. Untuk makluman semua, GMS telah menubuhkan panel undang-undang dibawah firma-firma yang dilantik untuk membela mana-mana mahasiswa yang dikenakan tindakan mahupun ancaman oleh pihak tertentu.


Dengan segala mehnah dan tribulasi yang datang tidak sedikit pun menggugat pendirian GMS, malah saya selaku Presiden tetap optimis dan komited untuk terus berjuang. Bagi mana-mana pensyarah yang bersedih ekoran salah faham dengan method perjuangan GMS. Saya memohon maaf dan berharap agar perhubungan baik ini dapat kekal seperti sediakala.


Akhir kalam, besar harapan saya kepada seluruh mahasiswa KUIS untuk bersedia memacu perubahan ke arah pencapaian matlamat yang diperjuangkan. Ayuh mahasiswa! Selaras dengan matlamat ‘universiti penuh’ kita sama-sama mengembalikan kegemilangan mahasiswa.

‘Dari Mahasiswa, untuk Mahasiswa’


AHMAD SYAFIQ AKMAL BIN AHMAD KAMIL

PRESIDEN GMS
posted by DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA @ 1:42 AM   0 comments
About Me

Name: DARI MAHASISWA UNTUK MAHASISWA
Home:
About Me:
See my complete profile
Previous Post
Archives
Powered by

BLOGGER

© 2005 Gerakan Mahasiswa Sedar Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Car Pictures